Press Release

Tingkatkan jaminan keselamatan makanan

PREMIER Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan Pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (SLDB), Siang Mandaw dan Pengarah Carus Technology Sdn Bhd, Jeremy Sim Hui Yii semasa Pelancaran Nasi Biris Kenyalang dan Carus Creamy White Pepper, Soft Launch of Sarawak Agrofast 2022 dan Nyamai Sarawak Gastronomy Festival 2022 di Kuala Lumpur semalam. Turut hadir Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri
dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak mencuba sedaya upaya untuk melihat pelbagai pendekatan yang boleh diguna pakai sebagai penyelesaian jangka panjang bagi meningkatkan jaminan keselamatan makanan, kata Premier Sarawak Tan Sri Datuk Patinggi  Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari berkata pendekatan sedemikian sangat diperlukan kerana negara sedang berhadapan inflasi yang menjejaskan setiap kehidupan rakyat Malaysia berikutan kebergantungan yang tinggi terhadap import barangan.

“Jadi, kita perlu menangani isu (inflasi) ini untuk jangka panjang dan sebab itu kerajaan Sarawak antara lain akan mewujudkan taman agro di pelbagai kawasan dalam wilayah Bintulu dan Kuching.

“Taman agro ini dikhususkan untuk mentransformasikan sektor pertanian supaya ia boleh menjadi sektor yang berorientasikan eksport bukan hanya untuk penggunaan tempatan. Saya percaya Sarawak mempunyai kekuatan dalam hal ini kerana tidak mempunyai masalah dengan isu tanah, hanya perlu diuruskan dengan baik,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada majlis pelancaran Kenyalang Biris Rice dan Carus White Pepper di Lalaport Bukit Bintang City Centre di sini, yang diadakan serentak dengan prapelancaran Agrofest Sarawak 2022 dan Nyamai Sarawak Gastronomy Festival 2022.

Sementara itu, pada sidang media Abang Johari memberitahu Sarawak kini turut mengehadkan penggunaan tanah untuk penanaman kelapa sawit kerana mahu menumpukan kepada usaha memperkasakan industri makanan.

Katanya, melalui dasar yang sedang dilaksanakan, Sarawak juga mementingkan penggunaan teknologi seperti Internet Benda (IoT) dalam memaksimumkan hasil tanaman petani dan memberi nilai tambah kepada industri makanan.

“Kalau kita lihat keadaan pada hari ini, Malaysia sebenarnya menerima tempias daripada tekanan geopolitik tetapi kita berasa agak anehlah juga sebab kita adalah sebuah negara yang mengeluarkan makanan.

“Sebab itu kita (Sarawak) sudah buat satu sumbang saran dengan melihat negara lain seperti Thailand dan China dalam memajukan sektor pertanian mereka,” katanya.-Bernama

More News